Selangorkini
EKONOMI NASIONAL

KDNK 2018 mampu cecah 6.0 peratus

SHAH ALAM, 21 JUL: Sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar diunjurkan mencecah 5.5-6.0 peratus tahun ini, selari unjuran Bank Negara Malaysia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ekonomi terbuka dan pelbagai memberi kelebihan kepada negara berdepan kesan perang perdangangan global semasa sekali gus mengembangkan ekonomi Malaysia 5.0 peratus untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

“Pasaran modal Malaysia tumbuh 12.6 peratus kepada RM3.2 trilion tahun lepas,” katanya kepada pemberita pada Pameran Pelaburan Syariah 2018 di ibunegara, hari ini.

Guan Eng berkata, permodalan pasaran modal konvensional dan Islam masing-masing meningkat 14.4 peratus dan 11.9 peratus, manakala pengumpulan dana menerusi pasaran ekuiti berkembang kepada RM21.7 bilion pada 2017 berbanding RM12.8 bilion tahun sebelumnya.

Beliau berkata, pasaran bon dan sukuk masing-masing meningkat 10.1 peratus kepada RM1.3 trilion.

“2018 sukar bagi pasaran ekuiti Asia, namun prestasi pasaran domestik menggalakkan walaupun merosot.

“Walaupun Indeks Komposit Kuala Lumpur susut 1.7 peratus setakat tahun ini, data Bloomberg menunjukkan pasaran kita terus berdaya tahan berbanding bursa serantau seperti Singapura, Jakarta, Bangkok, Hong Kong dan Shanghai,” katanya.

Beliau berkata, prestasi semua pasaran berkenaan merosot antara 3.8 peratus dan 17.7 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh perang perdagangan dunia semasa.

Pameran Pelaburan Syariah anjuran Bursa Malaysia Bhd itu bertujuan meningkakan kesedaran orang ramai mengenai pelaburan runcit dalam pasaran saham domestik, terutama aset-aset patuh Syariah.

-Bernama-


Pengarang :