BERITA UTAMASELANGOR

KEADILAN lancar bilik gerakan DUN Sungai Kandis

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 22 JULAI: KEADILAN hari ini melancarkan Bilik Gerakan Pilihan Raya Kecil (PRK) N49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, di Jalan Bukit Kemuning.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bilik gerakan itu dibuat sebagai persediaan parti dan calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menghadapi PRK.

Beliau berkata, sebarang maklum balas dan infomasi berhubung gerak kerja kempen KEADILAN akan dibuat menerusi operasi bilik gerakan berkenaan.

“Ini bukan tempat asing bagi pengundi Sungai Kandis kerana sebelum ini ia digunakan bekas Ahli Dewan Negeri, Shuhaimi Shafiei untuk menjalankan kerja di lapangan bersama penduduk tempatan.

“Namun, untuk lebih teratur dan memudahkan gerak kerja kempen, kita menggabungkan semua urusetia bilik gerakan bersama semua komponen dalam Pakatan Harapan (PAKATAN) yang akan berpusat di sini.

“Ini bagi memudahkan urusan gerak kerja membabitkan semua daerah dan saluran mengundi yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan bilik gerakan berkenaan, di sini.

Hadir sama Exco Kerajaan Negeri, Haniza Talha dan Dato’ Abdul Rashid Asari serta Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Pada masa sama, Amirudin berkata, sebanyak 20 bilik gerakan lain di DUN Sungai Kandis yang membabitkan gerak kerja komponen PAKATAN dibuka, sejak 20 Julai lalu.

Beliau berkata, operasi semua bilik gerakan dibuka berpandukan kepada keperluan pusat mengundi setempat membabitkan 108 saluran.

PRK DUN Sungai Kandis bakal berlangsung, pada 4 Ogos ini.


Pengarang :