NASIONAL

KEADILAN Selangor sudah kemuka nama calon PRK DUN Sungai Kandis

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 JUL: KEADILAN Selangor telah mengemukakan nama calon untuk dipertimbangkan Pusat sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Amirudin Shari berkata, Biro Politik parti yang bermesyuarat semalam membuat keputusan itu dan nama calon berkenaan telah dicadangkan kepada pimpinan KEADILAN Pusat, malam semalam.

“Kita menyenaraikan beberapan nama dan Biro Politik membuat keputusan serta menghantarnya.

“Difahamkan pimpinan pusat telah mengadakan perbincangan mengenainya tetapi saya kira belum membuat keputusan,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar.

Beliau berkata, dalam tempoh ketiadaan wakil rakyat, pejabat Dato’ Menteri Besar akan meluluskan segala permohonan dan peruntukan bagi menggerakkan program telah dirancang Allahyarham Shuhaimi Shafiei supaya DUN Sungai Kandis tidak terpinggir.

Sehubungan itu, katanya, Setiausaha Politiknya, Borhan Aman Shah akan turun ke Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Kandis bagi tujuan berkenaan.

“Dalam negara demokrasi, masing-masing boleh bertanding dan pada pilihan raya umum ke 14 (PRU14) lalu ada dua tiga parti bertanding dan sebagainya.

“Apa yang penting KEADILAN bertanding dan cuba mengekalkan DUN yang dimenangi sejak 2008,” katanya mengulas cadangan Umno bertanding menggunakan logo sendiri dan bukan Barisan Nasional (BN).


Pengarang :