SELANGOR

Kekalkan kemenangan, kempen dengan sihat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 JUL : Pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) komited memastikan kerusi N49 Sungai Kandis kekal menjadi milik parti berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selagi PAKATAN wujud, maka suara rakyat pasti terbela dan akan terus dilindungi terutama di DUN Sungai Kandis.

“Prinsip kita rakyat adalah prioriti utama. PAKATAN bukan bersuara untuk pemimpin tetapi bersuara demi rakyat.

“Jadi, mari kita bersama berkempen secara sihat dan meneruskan legasi Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie dan kekalkan kemenangan, di DUN Sungai Kandis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera KEADILAN PRK N49 yang diadakan di Padang Rakyat Jalan Kebun, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan beberapa barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, beliau amat berharap PAKATAN kekal menerajui DUN Sungai Kandis.

“Kita kekalkan kekuatan di Selangor dan kekuatan ini dapat dijadikan contoh, di peringkat Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Dr Wan Azizah, mengumumkan Mohd Zawawi Ahmad Mughni sebagai calon bagi kerusi N49 menggantikan Allahyarham Mat Shuhaimi.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi, meninggal dunia ekoran kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya, hari pengundian akan dijalankan pada 4 Ogos, manakala penamaan calon ditetapkan, 21 Julai ini.


Pengarang :