Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional melancarkan aplikasi mudah alih myPTPTN.
NASIONAL

Kemas kini maklumat pendapatan tangguh bayar pinjaman PTPTN

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 JULAI: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih mempunyai baki hutang disaran mengemas kini maklumat pendapatan mereka.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, ia boleh dilakukan di ruangan ‘Pengemaskinian Maklumat Pendapatan’, bermula hari ini hingga selewat-lewatnya 25 Julai ini, secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN, www.ptptn.gov.my.

Katanya, peminjam PTPTN yang gagal melaksanakan proses itu tidak dipertimbangkan mendapat keistimewaan penangguhan bayaran balik pinjaman.

“Peminjam perlu mengemukakan salinan pendapatan dan mengemas kini maklumat penting lain, termasuk perhubungan terkini seperti alamat, nombor telefon serta alamat e-mel juga maklumat pekerjaan.

“Peminjam diingat untuk mengemas kini maklumat pendapatan sahih dan benar disertakan dokumen sokongan apabila diminta bagi tujuan audit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Utama, Menara PTPTN.

Wan Saiful berkata, PTPTN komited melaksanakan manifesto Kerajaan bagi meringankan beban hidup ditanggung anak muda dengan mengeluarkan nama peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen dan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi yang berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan peminjam yang mempunyai kemampuan membuat bayaran balik pinjaman untuk terus membuat bayaran walaupun dalam jumlah kecil.

Terdahulu, PTPTN mengeluarkan nama 429,945 peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.


Pengarang :