SELANGOR

Kementerian Pengangkutan lancarkan urusan KDEBWM

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JULAI: KDEWB Waste Management (KDEBWM) menyambut baik sokongan dan kerjasama Menteri Pengangkutan baharu, Anthony Loke yang meluluskan permit lori kompaktornya dalam tempoh 19 hari.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, berbeza dengan sebelum ini, urusan terbabit dipermudahkan, sekali gus melancarkan kutipan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang akan diambil alih bulan depan.

Katanya, bermula 1 Ogos, pihaknya akan mengambil alih pengurusan sisa domestik dan pembersihan awam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

“Ini rekod kali pertama KDEBWM menerima kerjasama dan dipermudahkan Kementerian Pengangkutan.

“Saya berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada Menterinya, Anthony Loke yang meluluskan premit bagi kawasan itu.

“Biasanya ia memakan masa lebih 60 hari tetapi kali ini lebih cepat dari jangkaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Ramli berkata, kerjasama itu membuktikan kerajaan baharu membawa perubahan yang efisien dan prihatin dengan isu kebersihan untuk rakyat.

Beliau berkata, pihaknya dijangka akan menyediakan 44 lori Roll On Roll Off (RORO) bagi memastikan sampah pukal dapat diangkut dan dibuang, pada setiap hari di Petaling Jaya.

Terdahulu, KDEBWM dijangka akan mengambil alih pembersihan di MBPJ, MDHS, Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Majlis Perbandaran Subang Jaya berperingkat sehingga hujung tahun ini.


Pengarang :