SELANGOR

Kempen ‘Clean & Green’ terima reaksi positif

OLEH AFIX REDZUAN

RAWANG, 20 JUL: Kempen Cabutan Bertuah ‘Clean and Green’ menerima reaksi positif dengan penyertaan lebih 350 peserta sejak dimulakan pada Februari 2018.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din bekata, cetusan idea ini dilaksanakan di Taman Eko Rimba Kanching sebagai projek perintis bagi melihat reaksi pengunjung sebelum diperluaskan ke pusat rekreasi lain sekitar Selangor.

“Kita ingin memupuk pengunjung supaya menjaga kebersihan alam sekitar dan menggalakkan mereka membawa sampah di atas ke bawah.

“Sampah dibawa pengunjung dari atas akan ditimbang di bawah dan jika memenuhi berat ditetapkan, mereka layak untuk isi borang penyertaan bagi siri cabutan bertuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus selesai majlis pelancaran yang disempurkan EXCO Pelancongan, Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Menurutnya, Tourism Selangor turut berterima kasih atas penyertaan beberapa agensi pelancongan di sekitar Selangor yang sudi bekerjasama menaja hadiah cabutan bertuah buat pemenang.

Syarikat penerbangan Firefly Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ignstius Ong bertindak selaku penaja utama kempen ini sambil disokong 15 agensi lain termasuk Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Sunway Lagoon Malaysia.

Noorul Ashikin berkata, beliau percaya kempen yang akan berakhir pada Februari 2019 akan mendapat reaksi lebih baik selepas ini untuk dikembangkan kerana Selangor mempunyai pusat tarikan pelancongan menarik seperti hutan simpan, lokasi perkelahan dan pantai.

Pengunjung Taman Eko Rimba Kanching juga berpeluang menaiki skuter elektrik mini Velocifero yang turut disediakan bagi memudahkan mereka bersiar-siar di kawasan sekitar.

Dalam majlis sama, Abdul Rashid selaku EXCO Pelancongan menyambut baik kempen yang dilaksanakan Tourism Selangor bagi memupuk kesedaran menjaga kebersihan pusat pelancongan dalam kalangan pengunjung.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus memajukan Selangor sebagai destinasi pelancongan dan budaya bertaraf dunia.

“Kolabarasi bersama pelbagai agensi yang bertindak selaku penaja ini tepat pada masanya.

“Kita sedar hutan kekal sebegini perlu dilindungi baginmenjaga kelestarian biologi hutan dan menggalakkan sektor pelancongan dari dalam serta luar negara,” katanya.

 


Pengarang :