SELANGOR

Kenal pasti 27 pemilik rumah Highland Tower

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 8 JUL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang dalam usaha meneliti 27 pemilik kediaman Highland Tower.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya dalam proses melakukan inisiatif pengiklanan bagi mencari pemilik yang mungkin membeli secara ‘cash buyer’.

“Kita akan memberi tempoh kepada mereka selama tiga bulan, sekiranya tiada maklum balas kita anggap ia sudah berpindah milik kepada ‘regal developer’.

“Jadi, di situ saya akan berjumpa dengan mereka, berbincang serta melihat pembangunan sesuai yang boleh dilaksanakan, mungkin rumah tidak sesuai kita buat apa sahaja pembangunan boleh dibangunkan di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Ampang yang diadakan di Padang Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas, di sini, semalam.

Zuraida yang juga selaku Ahli Parlimen Ampang berkata, beliau akan meletakkan beberapa garis panduan dalam pengiklanan tersebut bagi memastikan 27 pemilik rumah itu.

Terdahulu, kawasan Highland Towers dibiar terbengkalai sejak 1993, dalam tragedi satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dan meragut nyawa 48 orang.


Pengarang :