Ibu bapa diminta beri nasihat kepada anak-anak agar terus membina kerjaya dan bukan menamatkan usia remaja dengan perkahwinan.
NASIONAL

Kenyataan kes kahwin bawah umur selepas siasatan selesai

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 18 JULAI: Kerajaan akan mengeluarkan kenyataan berkaitan kes perkahwinan bawah umur membabitkan kanak-kanak perempuan 11 tahun di Gua Musang, Kelantan, selepas siasatan selesai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu masih dalam siasatan pelbagai agensi dan kerajaan hanya bertindak sebagai penyelaras.

“Adalah tidak bijak untuk menghukum sesuatu isu sebelum semua bukti dikumpulkan dan penyiasatan diselesaikan.

“Sebagai kerajaan, kami perlu bertindak mengikut undang-undang persekutuan. Inilah yang dimaksudkan dengan kedaulatan undang-undang.

“Tindakan akan diambil untuk kes ini mestilah berasaskan kepada bukti,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan mengambil maklum tekanan dan kebimbangan dibangkitkan insiden seorang lelaki tempatan 41 tahun didakwa berkahwin dengan seorang gadis warga Thailand 11 tahun yang tinggal di Gua Musang, Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, pendirian pihaknya jelas dan konsisten seperti kenyataan dikeluarkan kementerian, pada 2 Julai lalu.

“Kami tegas menentang perkahwinan kanak-kanak dan sedang mengambil langkah menaikkan usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

“Pegawai kami sedang mengusahakannya dan kedudukan berkenaan isu ini tidak berubah,” katanya.

Walaupun memahami kemarahan ditimbulkan berkenaannya, beliau berkata, penting untuk semua pihak tidak membiarkan perasaan peribadi menentukan tindakan patut diambil.

“Tidak adil menghukum seseorang melalui media sosial hanya kerana perasaan kita berkenaan isu ini,” katanya.

Sebelum ini, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan akan membentangkan pindaan untuk menaikkan had umur perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun, pada persidangan Dewan Rakyat bermula 16 Julai ini.


Pengarang :