SELANGOR

Kerajaan Negeri ambil tindakan tegas isu sampah haram

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JUL: Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab dalam isu pembuangan sampah haram.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tindakan tersebut akan dilaksanakan sebaik sahaja pihaknya menerima maklumat dan menjalankan siasatan mengenai perkara itu.

Katanya, isu pembuangan sampah haram tidak seharusnya dipandang enteng kerana ia mengundang pelbagai masalah dikemudian hari.

“Isu sampah haram memang menjadi masalah, contoh di kawasan Sungai Tua.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

“Sekiranya tidak dibendung, kita akan kekurangan tanah dan akan berdepan pelbagai masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Menyantuni dan Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat DUN Sungai Kandis di Padang Rakyat Jalan Kebun, di sini.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri merancang mengenal pasti teknologi baru yang boleh digunapakai dalam menangani masalah itu.

Pada masa sama, beliau turut mengalukan aduan atau pandangan daripada rakyat menerusi laman sosial rasminya.

“Jika ada aduan atau pandangan boleh kemukakan di laman sosial saya iaitu Twitter, Facebook dan Instagram.

“Boleh kemukakan laporan atau bukti jika ada. Itu cara kita dengar berbincang dan membuat keputusan berasaskan prosedur kerana rakyat menjadi keutamaan,” katanya.


Pengarang :