SELANGOR

Kerajaan Negeri bantu pulihara Sungai Ampang elak jadi keruh

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 25 JUL : Kerajaan Negeri optimis akan membantu memelihara Sungai Ampang daripada berterusan keruh akibat pelaksanaan Projek Lebuhraya Lingkaran Luar-Hubungan Timur (EKVE).

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, Kerajaan Negeri akan mencari alternatif menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, apabila berlaku perkara sedemikian Loji Rawatan Air Ampang Intake terpaksa ditutup setiap kali berlakunya hujan lebat.

“Ia kerana projek EKVE ini selari dengan Sungai Ampang, jadi sukar untuk membendung isu pencemaran itu walaupun pelbagai kaedah sudah dilaksanakan.

“Namun, hari ini kita mengadakan lawatan ke empangan kecil yang dibina bertujuan membantu mengurangkan pencemaran sungai walaupun hanya satu pertiga kapasiti sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak projek Lebuhraya EKVE, di Loji Rawatan Air Ampang Intake, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Ir Izham berkata, pihaknya akan cuba mencari alternatif lain yang boleh mengurangkan pencemaran sungai itu daripada berlaku.

“Difahamkan sekiranya hujan berterusan, kapasiti kekeruhan air sungai semakin tinggi, jadi kita komited mencari kaedah lain yang lebih sesuai,” katanya.

Terdahulu, Ir Izham membuat lawatan ke tapak projek EKVE yang mula dibina, pada 2015 dan dijangka siap sepenuhnya, pada September 2019.

Projek yang menelan belanja RM1.51 bilion itu adalah projek Kerajaan Persekutuan, manakala Kerajaan Negeri menyediakan fasiliti daripada segi tanah.

EKVE yang kini siap 45 peratus mempunyai laluan fleksibel menghubungkan Sungai Long hingga ke Ukay Perdana dengan jarak 29 kilometer.


Pengarang :