NASIONAL

Kerajaan perhalusi isu royalti minyak

TUARAN, 22 JULAI: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan memperhalusi semula kadar pemberian royalti minyak 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak di negara ini, termasuk mekanisme pembayarannya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perbincangan itu akan dilakukan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mengambil kira faktor lain, termasuk situasi ekonomi semasa negara.

“Saya kena rujuk semula kepada Perdana Menteri berhubung isu pembayaran royalti minyak ini.

“Kerajaan juga harus fikir soal tabung negara dan akan memenuhinya keperluan dengan sewajarnya. Ini bukan janji kosong Kerajaan.

“Kerajaan Persekutuan komited melaksanakannya kerana ia sudah termaktub dalam perjanjian manifesto PAKATAN pada pilihan raya umum lalu,” katanya lapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan seminar “Sekeluarga Tolak Pornografi” di Maktab Perguruan Kent, Tuaran, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew dan pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kenny Chua.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir mengumumkan kerajaan akan memenuhi janji memberikan royalti minyak berdasarkan keuntungan dan bukan jualan kasar peratus kepada negeri pengeluar minyak seperti Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.

Ketika ini, Sabah dan Sarawak hanya menerima royalti minyak petroleum lima peratus, manakala Kelantan dan Terengganu hanya menerima wang ehsan.

 


Pengarang :