NASIONAL

Kerajaan pertahan hak pekerja tempatan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Kerajaan Persekutuan akan tetap mempertahankan nasib pekerja tempatan walaupun urusan pentadbiran diambil alih syarikat luar.

Menteri Tenaga Manusia, M Kulasegaran berkata, penggajian pekerja asing hanya dibenarkan dalam sektor dan subsektor tertentu sahaja serta membabitkan pekerjaan asas berdasarkan dokumen Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Seksyen 60M, Akta Kerja 1955 (Akta 265), memperuntukkan tiada majikan boleh menamatkan perkhidmatan pekerja tempatan dengan tujuan mengambil seorang pekerja asing.

“Menurut Seksyen 60N dibawah akta sama, jika majikan dikehendaki mengurangkan tenaga kerja disebabkan lebihan pekerja, maka majikan tidak boleh menamatkan perkhidmatan seseorang pekerja tempatan melainkan pekerja asing dalam kategori pekerjaan sama terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Naib Presiden DAP itu berkata, Kerajaan menetapkan nisbah antara pekerja tempatan dan asing bagi setiap sektor dan subsektor demi menjamin peluang pekerjaan rakyat tempatan.

“Sebagai contoh bagi sektor perkilangan, syarikat berorientasikan eksport, nisbah kelayakan bagi pekerja tempatan kepada pekerja asing adalah 1:3.

“Bagi syarikat bukan berorientasikan eksport, nisbah kelayakan adalah 1:1, manakala syarikat subsektor elektrik dan elektronik nisbah kelayakan 2:1,” katanya.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia sehingga 31 Mei lalu, seramai 1.78 juta pekerja asing diberikan permit kerja melalui Pas Lawatan Kerja Sementara dalam lima sektor formal dan satu tidak formal.


Pengarang :