NASIONAL

Kerjasama semua pastikan kematian bayi lima bulan tidak berulang

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 4 JUL: Isu penjagaan kanak-kanak perlu diberi perhatian serius semua pihak berkaitan demi memastikan kejadian tidak diingini seperti kematian seorang bayi lima bulan tidak berulang lagi.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN), Zuraida Kamaruddin berkata, kerjasama semua termasuk pihak berkuasa, pusat penjagaan kanak-kanak dan ibu bapa perlu ditingkatkan bagi tujuan berkenaan.

“Wanita PAKATAN mengesyorkan setiap penjaga kanak-kanak perlu diberikan latihan mencukupi dan pihak berkuasa dapat mempermudahkan urusan memperolehi lesen operasi sah bertujuan membolehkan pemantauan dilakukan dengan berkesan.

“Kita amat peka dengan isu penjagaan kanak-kanak (child care) dan telah dinyatakan sebelum ini di dalam Agenda Wanita Malaysia (AWM) dilancarkan pada awal tahun ini,” katanya.

Kenyataan Zuraida itu merujuk kejadian menimpa Adam Rayqal Mohd Sufi, lima bulan, dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki, ditemui mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, di sini, semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, terdapat dua topik dinyatakan di dalam aspirasi Wanita PAKATAN melalui AWM bagi mempertingkatkan keupayaan dan keberkesanan penjaga sama ada untuk warga emas atau kanak-kanak.

Katanya, perkara itu akan diperjuangkan sehingga satu solusi praktikal dicapai.

“Terdapat keperluan yang tinggi mewujudkan sistem sokongan keluarga atau ibu muda supaya ia dapat memberi jaminan anak mereka selamat di pusat penjagaan.

“Juga ditekankan harus diwujudkan pusat jagaan bayi dan kanak-kanak berkualiti tinggi yang boleh diakses semua lapisan masyarakat tanpa kos tinggi untuk ditanggung ibu bapa,” katanya.

Katanya, Wanita PAKATAN melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan berita dilaporkan serta maklum polis sedang menjalankan siasatan mengenainya.

“Al-Fatihah untuk adik Adam Rayqal dan salam takziah untuk keluarganya. Kita mesti pastikan kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.


Pengarang :