BERITA UTAMANASIONAL

Kes Najib dibicarakan Februari 2019

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Mahkamah menetapkan 8 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes yang membabitkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berhubung pendakwaan berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Hakim, Dato’ Mohd Sophian Abdul Razak turut menyatakan tarikh perbicaraan akan berlangsung pada 18 hingga 28 Februari, 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac 2019 bagi prosiding perbicaraan.

Pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh berkenaan.

Sopian sebelum itu turut bersetuju mengeluarkan perintah mahkamah supaya tiada sebarang kenyataan dari pihak luar boleh dilaporkan media dalam apa jua bentuk sekalipun selepas dikemukakan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Najib yang mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap semua empat pertuduhan dibacakan terhadapnya berhubung kes berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Pengakuan itu direkodkan di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim, Sophian Abdul Razak dan Najib dilihat mengangguk selepas setiap pertuduhan dibacakan.

Bagaimanapun, Sophian menetapkan bayaran ikat jamin berjumlah RM1 juta untuk semua pertuduhan dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Muhammad Shafee memohon budi bicara Hakim agar pendahuluan RM500,000 dibayar hari ini dan bakinya pda hari Isnin, jam 3.00 petang manakala pasport Najib diserahkan hari ini.

Sophian mengangguk sebagai tanda bersetuju dan Peguam Negara, Tommy Thomas tidak membantah.


Pengarang :