SUKANKINI

Ketangkasan Igor Akinfeev pastikan Rusia ke suku akhir

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 2 JUL: Penjaga gol Rusia, Igor Akinfeev muncul wira pasukan apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti Sepanyol untuk menang 3-4 bagi menempah tempat ke suku akhir Piala Dunia 2018 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 120 minit perlawanan.

Aksi babak pertama menyaksikan Sepanyol menguasai hampir 72 peratus permainan tetapi terpaksa menunggu hingga minit ke-12 untuk mendahului Rusia 1-0 hasil jaringan sendiri Sergei Ignshevich.

Bermula daripada sepakan percuma Marco Asensio, Ignshevich yang cuba mengawal Sergio Ramos melakukan kesilapan apabila tertampan bola ke gawang sendiri tanpa mampu diselamatkan penjaga gol, Igor Akinfeev.

Jaringan itu meletakkan Ignshevich sebagai penjaring gol sendiri tertua dalam Piala Dunia pada usia 38 tahun.

Rusia yang sesekali berpeluang menyerang hampir menyamakan kedudukan menrusi Aleksandr Golovin pada minit ke-36 tetapi percubannya tidak menepati sasaran.

Kealpaan Sepanyol akhirnya memakan diri pada minit ke-39 apabila pemain pertahanan, Gerard Pique menampan tandukan Artem Dzyuba menggunakan tangan sekaligus menghadiahkan sepakan penalti buat Rusia.

Dzyuba tidak berdepan masalah memastikan bola menerjah jaring bagi kedudukan terikat 1-1 pada minit ke-41.

Menuju waktu rehat babak pertama, Diego Costa hampir meletakkan Sepanyol kembali mendahului permainan tetapi tandukannya gagal menewaskan Akinfeev.

Tiada serangan bahaya dipamerkan kedua pasukan pada babak kedua sebaliknya penguasaan bola berterusan dipamerkan Sepanyol dengan lebih 800 hantaran dan tolakan pendek dilakukan.

Sepanyol berpeluang menjaringkan gol kedua menerusi pemain gantian Andres Iniesta tetapi rembatannya berjaya ditepis keluar di minit ke-84 dan tindakan susulan Iago Aspas juga tidak menepati sasaran.

Berlarutan ke masa tambahan, Acensio cuba meledak jaringan dari luar kotak penalti pada minit ke-100 babak pertama masa tambahan tetapi tenang dikawal Akinfeev.

Masuk babak kedua masa tambahan, Rodrigo hampir menjelmakan gol kedua Sepanyol di minit ke-109 tetapi Akinfeev lebih cemerlang menepis keluar percubaan itu.

Rodrigo sekali lagi mencuba di babak akhir masa tambahan tetapi rembatannya terus didakap kemas Akinfeev di gawang Rusia.

Ketika penentuan sepakan penalti, Akinfeev meneruskan kecemerlangan apabila menyekat sepakan Koke dan Aspas sekaligus meleburkan harapan Sepanyol untuk mara ke suku akhir.

 

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup


Pengarang :