NASIONAL

KJ resah Umno hilang arah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 JULAI: Semakin hilang arah, begitulah senario baru digambarkan Khairy Jamaluddin kepada Umno susulan kekalahan teruk dalam sejarah, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menerusi Twitter, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Umno kini berada di persimpangan jalan untuk memilih sama ada mengambil haluan kanan atau tengah.

“Ke kanan mungkin menang sorak sementara. Tetapi pasti lingkup 10-15 tahun lagi.

“Haluan tengah bukan mudah. Sukar difahami akar umbi. Tetapi itulah jalan yang ada untuk ‘survive’,” tulisnya.

Khairy yang gagal merebut jawatan presiden parti pada Pemilihan Umno lalu menyuarakan parti itu gagal mendengar suara rakyat.

“Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum, kutip tabung untuk mantan presiden dan ‘repeat’ (ulang) semula.

“Tak salah kita bersolidariti dengan DSN (Datun Seri Najib Razak) tetapi tak kan itu sahaja Umno “baharu”.

“Dah kena pukulan maut semasa PRU14, masih pekak terhadap suara rakyat,” tulisnya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu merujuk kepada kempen derma tabung yang dilancarkan kumpulan “Solidariti Bersama Datuk Najib”, pada 5 Julai lalu.

Khairy kemudian menyelar tindakan pemimpin Umno dan mendakwa rakannya dalam parti itu sengaja memainkan isu perkauman susulan pelantikan beberapa jawatan tertinggi, di negara ini daripada bukan Islam.

“Jika modal untuk PRU15 hanya dengan momokan orang Melayu dengan isu seperti pelantikan bukan Melayu sebagai Ketua Hakim, lupakan sahaja impian menawan semula Putrajaya.

“Keresahan Melayu memang ada tetapi perkara ini kecil berbanding isu ekonomi dan sosial,” tulisnya.


Pengarang :