NASIONAL

KKM siasat rapi kes gangguan seksual – Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR, 30 JUL: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan siasatan rapi berhubung laporan aktiviti gangguan seksual ketua jabatan ortopedik sebuah hospital di Lembah Klang, kata Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana melibatkan mangsa wanita.

“Kita akan berbincang dengan serius dan menyusuri perkara ini dan kami juga sedang membuat siasatan rapi hingga ke akar umbi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam melaporkan ketua jabatan terbabit menjadikan doktor pelatih wanita sebagai sasaran dan mengugut akan menggagalkan latihan perubatan mereka jika tidak mengikut kehendaknya.

Antara modus operandi ketua jabatan itu ialah meminta doktor pelatih untuk minum bersamanya sebelum melakukan sentuhan seksual secara paksa.
Seorang daripada mangsa mendakwa telah membuat laporan polis namun tiada tindakan diambil.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :