BERITA UTAMAPENDIDIKANSELANGOR

Komited jadikan UNISEL kampus hijau

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 29 JUL: Kerajaan Negeri komited mahu menjadikan Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya sebuah kampus hijau dan lestari.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, kawasan UNISEL amat luas dan masih banyak tanah kosong sesuai untuk penanaman pokok.

“Penanaman pokok selari dengan menghijaukan bumi dan ia amat bagus kerana bukan sahaja dapat mencantikkan kawasan tetapi mampu menghasilkan suasana pembelajaran tenang serta kondusif.

“Kita sedang dalam proses perbincangan bersama Kerajaan Negeri untuk menentukan peruntukan menghijaukan institusi ini dan ia mungkin akan dibawa ke dalam bajet tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau diminta mengulas berkenaan kunjungan hormat Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman ke pejabatnya, baru-baru ini.

Loy Sian berkata, pelbagai perkara dibincangkan antaranya melibatkan aspek penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi.

“Turut dibincangkan adalah usaha untuk menjadikan UNISEL sebuah institusi yang setaraf universiti terkemuka dunia,” katanya.

 


Pengarang :