SELANGOR

KPDNKK Selangor tunggu ujian petrol campur air

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor masih menunggu ujian sampel petrol yang didakwa dicampur dengan air.

Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Azman Adam berkata, sampel itu dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, baru-baru ini untuk proses uji kaji.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian setelah mendapat aduan sebuah stesen minyak di Ara Damansara mencampurkan kandungan minyak petrol dengan air.

“Kes berkenaan tular di media sosial dan KPDNKK sudah menghantar pegawai ke stesyen minyak terbabit dan menjalankan siasatan.

“Pengusaha seharusnya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan perkara ini timbul kerana kita tidak akan berkompromi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, ia adalah kes pertama diadukan kepada KPDNKK Selangor tahun ini dan tindakan susulan sudah diambil.

“Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.


Pengarang :