Selangorkini
NASIONAL

KPKT kaji permohonan pembelian rumah bumiputera ditolak bank

ccsb-ads

NASIONAL 15 JUL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneliti semula permohonan pembeli rumah mampu milik golongan bumiputera yang ditolak oleh institusi kewangan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu bertujuan memastikan golongan berkenaan dapat memiliki rumah selain mengatasi lambakan rumah mampu milik kuota bumiputera yang tidak terjual.

“KPKT juga akan mengadakan pertemuan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan institusi kewangan yang lain untuk mencari penyelesaian masalah ini.

“KPKT komited bagi membantu golongan bumiputera memiliki rumah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Umum Pencegahan Penderaan Seksual Kanak-kanak di Tanjung Sepat, Sepang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil kajian Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) yang mencadangkan agar rumah mampu milik kuota bumiputera yang tidak terjual dilepaskan ke pasaran terbuka.

Penyelidikan itu turut mendedahkan bahawa kuota bumiputera yang tidak terjual dan tidak dilepaskan ke pasaran terbuka hanya mengakibatkan peningkatan kos pegangan dan keseluruhan kos pembangunan.

Menurut Rehda ini akan meningkatkan harga lot bukan bumiputera berikutan kos bagi seunit rumah telah dilepaskan kepada pembeli.

Mengulas dua lagi cadangan oleh kajian berkenaan, Zuraida berkata cadangan berkenaan akan dipertimbangkan oleh pihaknya yang kini sedang merangka Dasar Perumahan Negara 2.0 yang dijangka siap penghujung tahun ini.

Dua cadangan berkenaan ialah menetapkan harga siling bagi rumah mampu milik di Kuala Lumpur dan Lembah Klang pada harga RM500,000, dan pembinaan rumah mampu milik diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan manakala pemaju swasta hanya membina rumah yang didorong pasaran tanpa kawalan harga dan kuota.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :