NASIONAL

KPWKM pantau kanak-kanak kahwin bawah umur

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 9 JULAI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus menjalankan pemantauan terhadap kanak-kanak perempuan 11 tahun yang terbabit dengan isu perkahwinan bawah umur di Kelantan, baru-baru ini.

Unit Komunikasi Korporat KPWKM dalam kenyataan berkata, pihaknya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat lawatan ke rumah kanak-kanak itu dan memberi khidmat kaunseling sebanyak dua kali kepada keluarganya.

“Kanak-kanak itu dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Krai, pada 4 Julai lalu dan pakar kesihatan hospital mengesahkan tiada tanda mencurigakan atau menunjukkannya pernah didera atau dicederakan, namun laporan penuh masih belum dikeluarkan,” katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat diperolehi dari ibu kandung kanak-kanak berkenaan, mereka kini berada di Kota Bahru dan sedang menunggu pihak berkuasa Thailand membuat urusan membawa mereka sekeluarga pulang ke negara terbabit.

KPWKM berkata, tujuan dan jangka masa keluarga itu berada di Thailand masih tidak diketahui, namun mereka dijangka dibawa pulang pihak berkuasa negara terbabit ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail amat prihatin terhadap isu berkenaan dan mereka akan memastikan JKM terus melakukan pemantauan bagi memastikan ia ditangani sebaiknya,” katanya.

Isu perkahwinan kanak-kanak perempuan bawah umur itu mendapat perhatian ramai selepas seorang lelaki 41 tahun dari Kelantan mengahwininya di Thailand, baru-baru ini.


Pengarang :