NASIONAL

Lantikan politik BN disaran letak jawatan – Khalid

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 JULAI : Mana-mana individu yang menerima lantikan politik serta memegang jawatan di bawah portfolio Kementerian Wilayah Persekutuan dinasihatkan supaya meletakkan jawatan dalam kadar segera.

Menterinya, Khalid Samad berkata, pihaknya tidak mahu menjatuhkan maruah individu yang berkenaan dengan terus membuat pemecatan secara mengejut.

“Sepatutnya mereka ini faham-faham sendiri, memang sudah ada yang dimaklumkan oleh pihak saya, namun ada diantaranya yang memberi respon dengan mengatakan mahu meletakkan jawatan ikut prosedur.

“Hakikatnya hendak letak jawatan, beri sahaja surat, tak perlu ikut prosedur yang susah, ini semua alasan, kami juga mahu jaga air muka anda.

“Contoh terbaik adalah abang saya, Tan Sri Shahrir Abdul samad meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Felda tanpa desakan mana-mana pihak, jadi sesiapa yang dilantik atas tiket politik UMNO mahupun BN sebelum ini, letak jawatan segera,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Khalid turut memaklumkan portfolionya kini bertambah kepada Menteri Kesejahteraan Bandar setelah disahkan petang semalam.

“Tidak dinafikan peranan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sudah cukup besar.

“Sekarang dibawah portfolio yang baru kemungkinan saya akan menjaga pengurusan agama seperti Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pejabat Mufti, pusat zakat, serta pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Putrajaya dan Labuah juga di bawah portflio yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Pakatan Harapan (PAKATAN) Shah Alam di Space U8 di sini.

Hadir sama Exco Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi dan Pemilik Space U8, Terry Teo.


Pengarang :