Selangorkini
NASIONAL

Lapor kesalahan sepanjang kempen PRK Sungai Kandis – BERSIH 2.0

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 24 JULAI: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) melancarkan operasi pemantauan mencegah gejala rasuah sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Jurucakap BERSIH 2.0 berkata, pihaknya menasihatkan semua parti politik supaya lebih berhati-hati ketika cuba mengambil hati pengundi.

“BERSIH 2.0 mengalukan orang ramai membuat aduan jika terdapat perkara mencurigakan sepanjang tempoh berkempen kali ini.

“Tujuan pemantauan dilakukan kerana kami tidak mahu acara ‘beli’ undi ini diterapkan dalam masyarakat, biarlah pilihan raya diadakan ini adil dan saksama tanpa cuba dipengaruhi wang ringgit semata-mata,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, BERSIH 2.0 dilantik Suruhanjaya Hak Asasi Manusia bagi memantau proses PRK Sungai Kandis, pada 4 Ogos ini.

Skop pemerhatian bagi pemerhati kali ini membabitkan proses penamaan calon, perjalanan kempen pilihan raya, pengurusan undi pos dan proses semakan isi peti undi.

Selain itu, BERSIH 2.0 juga akan terbabit dalam memerhati proses pengundian, pengiraan undi dan perjumlahan rasmi undi serta pengumuman keputusan.

Orang ramai khasnya pengundi boleh melaporkan kesalahan pilihan raya melalui www.pemantau.org atau whatsapp 0172537923.


Pengarang :