SELANGOR

Lebih 10,000 meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitiri Ahli Parlimen Kota Raja

OLEH ZAREFF MUZAMMIL

KLANG, 8 JUL: Kemeriahan Syawal berterusan dengan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitiri Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu, di Taman Rakyat Sri Andalas, di sini, hari ini.

Majlis yang bermula seawal jam 10 pagi hingga 5 petang itu menerima penyertaan menggalakkan dengan kehadiran lebih 10,000 hadirin terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan lapisan umur.

Terdahulu, ketibaan Menteri Pertahanan sekitar jam 11.45 turut disambut dengan sorakan gemuruh pengunjung yang menunggu penuh sabar.

Selain itu, rata-rata mereka kelihatan teruja untuk bertemu mengucapkan Selamat Hari Raya kepada beliau yang tampil berpakaian baju Melayu berwarna putih.

Rumah terbuka itu bertambah seri dengan kehadiran Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan barisan Exco Kerajaan Negeri lain.

Sementara itu, tinjauan SelangorKini mendapati sebanyak 15 gerai menghidangkan bermacam jenis juadah seperti laksa, char kuey teow dan cendol.

Ia termasuk hidangan nasi impit kuah kacang, mi sup, chapati dan tosai yang sudah pasti memenuhi citarasa umum.

Demonstrasi Teh Tarik turut dipertontonkan di atas pentas kepada pengunjung.


Pengarang :