SELANGORSUKANKINI

Lebih 10,000 peserta sahkan kehadiran PJ Half Marathon

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 JUL: Acara larian terulung di Petaling Jaya, PJ Half Marathon kembali lagi untuk edisi yang ke 30 pada 15 Julai ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain memaklumkan sebanyak empat kategori akan dipertandingkan pada kali ini iaitu larian 30km Terbuka, 21km Terbuka, 10km Terbuka serta 3km Fun Run.

Katanya, seramai 10,400 peserta sudahpun mengesahkan penyertaan dalam edisi tahun ini berbanding 7,000 peserta pada tahun 2017.

“Peningkatan penyertaan peserta luar negara adalah begitu ketara apabila untuk tahun ini sebanyak lebih 284 peserta dari 42 negara telahpun mendaftar untuk larian ini.

“Ini menjadikan prestij acara PJ Half Marathon 2018 semakin meningkat serta semakin mampu menarik pelari antarabangsa.

“Edisi kali ini juga menyaksikan pendaftaran penyertaan ditutup dua bulan lebih awal dari yang disasarkan atas sambutan hangat daripada para pelari tempatan dan luar negara,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Azizi berkata aplikasi ‘PJ Half Marathon 2018’ turut diperkenalkan tahun ini.

Katanya, ia dilancarkan seiring dengan kemajuan teknologi sejagat – mudah diakses, boleh ‘live-tracking’ peserta larian, interaktif serta memudahkan peserta untuk mengetahui segala perkembangan terkini berkenaan acara ini.

“Aplikasi ini boleh dimuat-turun di Android dan iOS.

“Antara utama terlibat dalam acara ini ialah Jalan Gasing, Jalan Templer, Jalan Universiti serta Jalan Sultan. Pihak polis Daerah Petaling Jaya akan membuat kawalan trafik secara berperingkat bermula jam 04.00pagi di jalan-jalan terlibat,” katanya.

Seramai kira-kira 100 polis trafik serta 50 pegawai penguatkuasa MBPJ akan ditugaskan untuk mengawal lalulintas bagi menjamin kelancaran serta keselamatan PJ Half Marathon untuk semua samada peserta mahupun orang awam.

Pihak penganjur menyarankan kepada semua peserta untuk meletakkan kenderaan di sekitar kawasan letak kereta yang terdapat berhampiran PJ State serta tidak meletakkannya di bahu-bahu jalan agar tidak mengganggu lalu lintas pada hari acara berlangsung.

 


Pengarang :