Selangorkini
SELANGOR

Lebih 2,000 meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Worldwide

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 JUL: Kumpulan Worldwide Holdings Berhad (Worldwide) hari ini meraikan lebih 2,000 tetamu dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri syarikat itu, di Grand Ballroom Hotel Concorde, di sini.

Majlis yang bermula seawal jam 2 hingga 6 petang itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan termasuklah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Antara lain yang hadir adalah rakan-rakan korporat dan pihak berkepentingan yang sentiasa bekerjasama rapat dengan syarikat terbabit.

Selain itu, acara turut diwarnai dengan persembahan pentas oleh penyanyi terkenal tanah air (Syamel AF).

Pengerusinya, Dato’ Nor Azmie Dirom berkata, majlis saban tahun diadakan itu sebagai tanda penghargaan kepada rakan-rakan korporat yang sentiasa menunjukkan sokongan penuh untuk memajukan syarikat berkenaan.

“Selain soal jaringan, kita juga mahu bersuka ria bersama dalam meraikan Aidilfitri yang disambut hanya setahun sekali.

“Saya juga amat berterima kasih dan menghargai jasa mereka yang terlibat termasuk pihak vendor dan kontraktor serta media yang memberi kerjasama erat dalam mengangkat nama syarikat ke tahap lebih tinggi.

“Justeru, saya berharap kerjasama ini akan terus kekal terjalin,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berkenaan.

Worldwide Holding merupakan Syarikat Pemaju Perumahan yang giat menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri di bawah dasar perumahan Rumah SelangorKu.

Sebelum itu, Syarikat Pemaju itu mempunyai pengalaman lebih 23 tahun dalam pembangunan hartanah selain terlibat sebagai pemain utama dalam industri pengurusan alam sekitar, pelaburan hartanah.

=EZY=


Pengarang :