Selangorkini
NASIONAL

Lebih 280,000 penderma Tabung Harapan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JUL: Seramai 289,002 penderma terdiri daripada individu dalam dan luar negara yang menderma kepada Tabung Harapan Malaysia setakat jam 3 petang 24 Julai, semalam.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ir Amirudin Hamzah bagi menjawab menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ir Amirudin berkata, tujuan Tabung Harapan diwujudkan berikutan kesedaran dan keprihatinan rakyat Malaysia untuk menghulurkan sumbangan serta derma ikhlas mengikut kemampuan mereka bagi membantu Kerajaan Persekutuan menyelesaikan isu hutang negara.

“Tabung Harapan itu juga diwujudkan bertujuan memastikan derma dan sumbangan tersebut diurus secara sistematik juga telus mengikut lunas undang-undang negara.

“Oleh itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei 2018 telah bersetuju menubuhkan Tabung Harapan Malaysia di bawah peruntukan Seksyen 9, Akta Tatacara Kewangan 1957 iaitu Akta 61,” katanya.

Katanya, setakat jam 3 petang semalam, jumlah terkumpul Tabung Harapan sudah berjumlah RM161,896,353.60.

Beliau berkata, kesemua hasil derma dan sumbangan yang diterima Tabung Harapan Malaysia itu akan digunakan untuk membayar hutang negara ini akibat daripada projek skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas pertanyaan Ahli Parlimen Bukit Bintang berkenaan adakah Kerajaan Persekutuan menetapkan satu tempoh tamat menderma kepada tabung itu.

Ir Amirudin yang juga selaku Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, sehingga kini Kerajaan Persekutuan belum menetapkan tarikh akhir penderma boleh menderma kepada tabung berkenaan.

“Setakat ini belum ada sebarang ketetapan tarikh malah setiap hari kita sering menerima sumbangan daripada orang ramai bahkan dari luar negara sahaja sudah melebihi RM10 juta,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelepasan cukai terhadap syarikat yang menderma kepada tabung itu, beliau berkata, pelepasan cukai dibenarkan berdasarkan Seksyen 446, Akta Cukai Pendapatan 1967.


Pengarang :