SELANGOR

Lebih banyak kerjasama Selangor – Kementerian Belia demi kepentingan belia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 JUL: Kementerian Belia dan Sukan komited untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan belia khasnya melibatkan bidang vokasional di negeri itu berjalan lancar.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau yakin hasrat itu lebih mudah dilaksanakan apabila Selangor memiliki Menteri Besar muda dan Raja Muda yang sentiasa mengambil berat isu-isu belia di negeri ini.

“Saya agak gembira kerana Kerajaan Negeri khasnya Raja Muda Selangor menitikberatkan kepentingan graduan kolej vokasional di mana kita kena pastikan graduan kolej vokasional ini sama sahaja seperti graduan universiti sedia ada kerana mereka adalah masa hadapan.

“Pengetahuan belia dalam bidang masing-masing memastikan mereka dapat mengangkat masa hadapan anak muda sedia ada dan lebih banyak kerjasama dengan Kerajaan Selangor, khususnya kita ada Menteri Besar muda yang menjiwai anak muda serta seorang Raja Muda yang mengambil kisah isu Vokasional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum, Nota Persefahaman dan Kenyataan Bersama Yayasan Raja Muda Selangor, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Next Academy dan Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) di sini, hari ini.

Sebelum itu, pada majlis sama, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyaksikan wakil daripada Yayasan Raja Muda Selangor, bersama wakil Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Next Academy dan Selangor Human Resource Development Centre (HSRDC) menandatangani MoU.

 


Pengarang :