Selangorkini
SELANGOR

Lebuhraya EKVE bantu kurang kesesakan

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 24 JULAI: Pembinaan Lebuhraya Lingkaran Luar–Hubungan Timur (EKVE) dijangka mampu membantu mengurangkan kesesakan di beberapa lebuh raya utama, di sekitar negeri ini.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, EKVE akan menjimatkan masa pengguna jalan raya dari Ukay Perdana ke pusat bandar atau Sungai Long.

“Lebuh raya sepanjang 29 kilometer ini menelan kos RM1.51 bilion dan dijangka siap, pada September 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak projek Lebuhraya EKVE, di Loji Rawatan Air Ampang Intake, di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan bayaran tol, Ir Izham berkata, ia masih dalam peringkat kajian sama ada ia akan dihapus secara keseluruhan atau berperingkat.

“Sekurang-kurangnya perlu ada alternatif jalan yang tidak perlu membayar tol supaya rakyat mempunyai pilihan mengggunakan laluan mana.

“Namun, jika jalan itu mempunyai tol, ia perlu dicaj pada kadar berpatutan,” katanya.

 


Pengarang :