SELANGOR

Lelaki menyamar bapa culik bayi di rumah pengasuh

KUALA LUMPUR 3 JUL: Pengasuh bayi berusia tiga bulan mendakwa tidak menyangka dia tersalah menyerahkan bayi jagaannya kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai bapa bayi tersebut.

Kehilangan bayi berkenaan disedari bapanya yang mahu mengambil anaknya itu kira-kira pukul 7 petang tadi di Jalan Nakhoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor.

Pemilik rumah yang disewa oleh pengasuh tersebut, Suriani Mokhtar berkata, bayi yang dikenali sebagai Adam itu baru lebih seminggu dan merupakan anak sulung pasangan terbabit dijaga pengasuh itu.

“Pengasuh hanya mengenali ibu kepada bayi tersebut yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Kuala Lumpur dan tidak pernah berjumpa dengan bapanya.

“Kebetulan, ibu bayi tersebut ada memberitahu kepada pengasuh yang dia menyuruh suaminya mengambil bayi itu hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Suriani, kira-kira pukul 6.30 petang, seorang lelaki berpakaian kemas mendakwa dirinya sebagai bapa bayi tersebut hadir untuk mengambil bayi itu.

Jelasnya, pengasuh sudah menghubungi ibu bayi itu untuk pengesahan namun tidak berjawab sebelum menyerahkan bayi itu.

“Kira-kira pukul 7 petang, bapa sebenar bayi itu hadir dan mula sedar yang anaknya telah diculik lelaki tersebut,” jelasnya.

Katanya, selain bayi berkenaan, pengasuh itu turut menjaga dua lagi kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun.

Dakwa Suriani, beberapa jiran di kawasan berkenaan terlihat kelibat dua lelaki yang sering mengintai ibu bapa yang menghantar anak ke rumah berkenaan.

Tambah Suriani, satu laporan polis juga sedang dibuat di Balai Polis Selayang oleh bapa bayi tersebut.

SUMBER: UTUSAN ONLINE


Pengarang :