BERITA UTAMASELANGOR

LPHS beri kesedaran bentuk komuniti strata bersih, ceria dan harmoni

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JUL: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) komited memberi kesedaran kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) dalam memangkin pembentukan komuniti pemajuan strata.

Pengarah Eksekutifnya, Sr Nazmi Osman berkata, kepentingan mempunyai sumber kewangan stabil supaya nilai hartanah meningkat penting memastikan komuniti bersih, ceria dan harmoni.

Katanya, LPHS dengan kerjasama Pesuruhjaya Bangunan (COB) di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengadakan beberapa siri seminar yang memfokuskan kepada pendidikan pengurusan kewangan optimum.

“Terdapat sejumlah 6,172 kawasan pemajuan strata membabitkan 655,547 unit petak di Selangor.

“Manakala, 1,346 kawasan pangsapuri kos rendah terdiri daripada 219,806 petak.

“Ini memberi gambaran permasalahan pengurusan pemajuan strata yang sering dipaparkan media, sekiranya tidak ditangani secara cekap, ia akan menjadi isu negeri dan nasional yang sangat serius.

“Oleh itu, LPHS secara agresifnya tahun ini terbabit dengan lebih mendalam dengan menyediakan kursus atau seminar pengurusan strata pelbagai topik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Seminar Pengurusan JMB/MC Selangor Siri 1/2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Nazmi berkata, tiga kompenan utama dalam pengurusan kewangan yang perlu diberi penekanan utama antaranya pengurusan caj kutipan bulanan yang efektif, pelaksanaan perbelanjaan berimbang dengan hasil kutipan dan mengawal gejala vandalisme.

Katanya, kompenan utama itu perlu bagi memastikan JMB/MC mempunyai sumber kewangan mencukupi supaya dapat mengurus akan pangsapuri dengan baik.

“Sehubungan itu, LPHS turut membuat pemantauan secara berterusan dan berkala ke atas JMB/MC supaya matlamat ini akan tercapai,” katanya.

Dalam seminar itu, kira-kira 300 menghadiri seminar berkenaan yang bertujuan memberi pendedahan dalam menggunapakai tatacara kerja kewangan.

Seminar itu juga dijadikan sebagai platform dalam membincang dan menyelaras isu kewangan semasa, permasalahan yang wujud serta tindakan penyeragaman atau cadangan penambahbaikan berdasarkan perundangan Akta 757.


Pengarang :