NASIONAL

LRT3: Prasarana diminta semak semula kos

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kementerian Kewangan mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyemak semula kos projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bernilai RM31.45 bilion.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, pihaknya tidak akan menyokong pembiayaan tambahan jika tiada pengurangan kos LRT3 tanpa menjejaskan integriti jajaran rel, keselamatan dan kualiti perkhidmatan diberikan.

Katanya, kos keseluruhan projek itu disemak kerana kelemahan pengurusan projek oleh Prasarana yang memerlukan pengurangan secara drastik untuk memastikan ia efektif dan berdaya maju.

“Terdapatnya beberapa laporan media bahawa kos LRT3 boleh dikurangkan RM6 bilion, namun Kementerian ingin menegaskan ia perlu dikurangkan jauh lebih daripada itu supaya projek dapat diteruskan.

“Sebelum ini, Prasarana sudah memperolehi jaminan kerajaan untuk meminjam RM10 bilion bagi membiayai projek ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, Prasarana pernah meminta jaminan kerajaan tambahan RM22 bilion bagi membiayai pinjaman untuk menyiapkan projek LRT3, pada 30 Mac lalu.

LRT3 adalah projek utama bagi menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dalam koridor pembangunan ekonomi dan kepadatan penduduk yang pesat.

Jajaran LRT3 adalah kritikal kerana ia menawarkan perkhidmatan meliputi kepadatan penduduk seramai dua juta orang di sepanjang koridor jajaran dan menampung kapasiti 36,700 penumpang sejam, setiap hala.


Pengarang :