SELANGOR

LZS bantu mualaf beri tempat perlindungan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 JULAI: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Itulah gambaran nasib seorang mualaf bersama anak berusia tiga bulan yang disisihkan keluarga dan menghadapi kesulitan dalam ikhtiar hidup.

Prihatin terhadap kedaifan menimpa saudara baru itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tampil membantu keluarga terbabit dengan menyediakan penempatan yang lebih selamat dan terjamin.

LZS menerusi kenyataanya berkata, mualaf yang disahkan menghidap penyakit HIV positif itu kehilangan tempat tinggal sejak kematian suaminya.

“Bayinya pula masih dalam tempoh pemantauan doktor pakar. Dia baru memeluk agama Islam dan tiada sesiapa yang ambil tahu kehidupan mereka.

“Sebak apabila melihat wajah bayi ini yang hidupnya belum mengenal dunia. Jadi, kami ambilnya sebelum diserahkan kepada unit Riqob MAIS dan menempatkan perlindungan terbaik buat mereka,” katanya.

Sehubungan itu, LZS memohon semua pihak mendoakan keluarga berkenaan supaya sentiasa diberi kekuatan dan kecekalan dengan cabaran serta ujian menimpa mereka.

“Kisah lalu mereka kita tidak boleh salahkan padanya semata-mata, sebaliknya perjalanan hidupnya kini yang perlu kita bantu untuk dicorakkan mengikut cara Islam.

“Doakan supaya Allah kukuhkan keimanannya dan keimanan kita semua, ‘bersama kami membantu mustahiq’,” katanya.


Pengarang :