SELANGOR

LZS bantu warga emas OKU

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 12 JUL: Tiada siapa mahu dilahirkan dalam keadaan kurang upaya, apatah lagi hidup sebatang kara tanpa ditemani gelak tawa anak dan cucu.

Namun, melalui ranjau kehidupan penuh sukar itu bukan kehendak, tetapi ketentuan takdir sudah memilih sesiapa sahaja untuk diuji sedemikian, tidak dapat dihalang.

Begitulah gambaran nasib harus ditempuh seorang warga emas kelainan upaya (OKU) di daerah ini yang uzur dan sukar bergerak seperti manusia normal lain.

Dengan hanya menggunakan khidmat bantuan kerusi roda, beliau terpaksa menguruskan diri secara perlahan-lahan setiap hari.

Prihatin terhadap keperitan dialaminya, Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersama Skuad Operasi Agihan tangkas bertindak membantu individu berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang awam.

LZS menerusi kenyataannya memaklumkan, individu terbabit merupakan asnaf fakir di bawah penyeliaan Zakat Selangor.

Katanya, sebelum ini warga emas itu bekerja secara kecil-kecilan untuk mencari sumber pendapatan.

“Namun, sudah tidak dapat mampu berniaga lagi kerana baru sahaja selesai menjalani rawatan Hemodialisis. Isterinya pula baru diserang angin ahmar pada awal Syawal lalu.

“Beliau tinggal bersama anak angkat yang sudah bekerja dan menumpang di rumah abang iparnya.

“Lebih terkilan, abang iparnya itu terlibat dalam kemalangan jalan raya awal tahun ini dan isterinya juga baru 3 bulan diserang angin ahmar,” katanya.

Justeru katanya, LZS komited untuk menghulurkan bantuan dengan tekad meringankan beban keluarga terbabit.

“Bantuan kewangan tunai dan bulanan berjumlah RM500 akan diberi bagi kedua-dua keluarga ini.

“Selain itu, kami akan menguruskan bantuan dialisis, perubatan isteri dan keperluan lain juga,” katanya.


Pengarang :