AGAMASELANGOR

LZS lulus peruntukan RM1.5 juta kepada NGO-i MAIS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 JUL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meluluskan tambahan peruntukan sejumlah RM1.5 juta kepada program pembangunan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Pengerusi MAIS, Dato’ Emran Kadir pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Dana Bantuan NGO-i MAIS bertempat di Hotel De’ Palma, di sini, hari ini.

Emran berkata, tambahan peruntukan itu bertujuan menjaga kesucian agama Islam di negeri ini .

“Dengan tambahan peruntukan ini, NGO-i MAIS diseru memberi lebih keutamaan kepada aktivis atau program yang dapat menangani isu ancaman akidah, ancaman sosial dan isu semasa umat Islam di Selangor terutamanya.

“Ingin saya mengingatkan, NGO-i hendaklah menyokong fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan seiring dengan visi dan misi yang sudah diterapkan MAIS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Persidangan Meja Bulat NGO-i MAIS “Menangani Isu Ancaman Akidah dan Sosial Selangor” serta Penyampaian Dana Bantuan NGO-i MAIS, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Emran turut menyampaikan sumbangan sejumlah RM465,000 kepada 12 rumah kebajikan perlindungan anak yatim sekitar Selangor.

Manakala, antara pengisian majlis, turut diadakan persidangan daripada NGO-i MAIS membabitkan tiga panel iaitu Pengerusi WADAH Selangor, Nik Mohd Yusoff Nik Ismail; Setiausaha Jawatankuasa Penaja Penubuhan Sekretariat NGO-i MAIS, Mohd Azmi Walang dan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia, Mohamad Zamri Mohamad Shapik.

=EZY=


Pengarang :