NASIONAL

Mahkamah dengar rayuan Anwar 14 September

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 JULAI: Mahkamah Rayuan menetapkan 14 September ini untuk mendengar rayuan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengembalikan saman terhadap kerajaan berhubung Fitnah II.

Timbalan Pendaftar, Haslina Basarudin menetapkan tarikh itu selepas perkara berkenaan dikemukakan bagi pengurusan kes di hadapannya, hari ini.

Peguam J Leela mewakili Anwar dan peguam kanan persekutuan Mazlifah Ayob bagi pihak kerajaan, turut hadir, pada prosiding pengurusan kes itu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman itu selepas membenarkan permohonan kerajaan, pada 8 November tahun lalu.

Anwar memfailkan saman pemula, pada 9 Jun 2017 mendakwa beliau tidak mendapat perbicaraan adil dalam rayuan terhadap sabitannya bagi meliwat.

Beliau memohon pengisytiharan sabitan diputuskan Mahkamah Rayuan, pada 7 Mac 2014 adalah ultra vires terhadap Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu ia batal serta tidak sah.

Beliau juga memohon perintah keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan adalah ultra vires dan dengan itu adalah batal dan tidak sah.

Terdahulu, Anwar disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan membabitkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Anwar diberi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei, tahun ini.


Pengarang :