SELANGOR

Makan durian sampai puas, hanya sedekah RM40

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JULAI: Dengan hanya mendermakan RM40, anda boleh nikmati raja buah dan buah-buahan tempatan selama satu jam, di The Summit USJ, pada Sabtu dan Ahad ini.

Naib Presiden Persatuan Impian Kanak-kanak Malaysia (CWS), Teoh Teik Hoong berkata, Program Amal Jom Durian yang diadakan buat kali ke-11 itu bertujuan memenuhi impian akhir kanak-kanak mendeirta sakit kronik.

“Sesi untuk sektor korporat yang ingin menyumbang dengan membeli meja berharga RM5,000 atau RM10,000 dibuka, pada hari Sabtu. Penyumbang akan diberi meja untuk 10 orang dan boleh menikmati raja buah itu hingga puas.

“Pada hari sama, diadakan meja khas untuk orang ramai yang ingin menikmati raja buah, namun harga dikenakan satu kepala RM100, mereka boleh makan durian selama tiga jam.

“Program bersambung hari Ahad untuk orang ramai sertai aktiviti makan durian sama ada sesi satu antara 5 hingg 6 petang, sesi kedua 6.15 petang hingga 7.15 malam atau sesi ketiga dari jam 7.30 malam hingga 8.30 malam, pelbagai jenis durian dihidangkan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, enam tan durian dan buah-buahan tempatan disediakan untuk dinikmati peserta program amal itu.

Katanya, penggemar durian boleh menikmati seberapa banyak ulas durian yang mampu dalam tempoh satu jam, sekali gus menyumbang kepada tabung persatuan.

“Kita harap dapat kutip lebih banyak dana menerusi program amal terbesar, di negara ini dan menunaikan banyak impian kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik,” katanya.


Pengarang :