SASTERA

Malam-Malam Terakhir Di Bumi

Oleh Arif Zulkifli

Malam 1

Hari ini, matahari tiba-tiba ghaib. Bebola jingga yang selalunya tergantung di langit, tidak lagi kelihatan membiaskan cahaya meganya. Seolah-olah maharaja siang itu lenyap ditelan gelap malam.

Pada awalnya, manusia masih menjalankan kehidupan mereka seperti biasa. Hari Isnin, jadi berpeleseranlah zombi-zombi dan hamba-hamba kerja menuju ke pejabat masing-masing. Kuapan menemani yang mengantuk. Makanan menemani yang lapar.

Ada yang pelik, mengapa hari masih gelap, sedangkan sudah satu jam berlalu sejak waktu syuruk. Namun mereka buang rasa pelik mereka dengan tanggapan, awan sedang mengandung hujan. Kerana itu langit masih gelap.

Tidak lama selepas itu, barulah bisik-bisik bertukar menjadi hiruk-pikuk apabila manusia menyedari apa yang telah terjadi. Mereka semua rancak membincangkan perihal kehilangan matahari di media sosial, dan televisyen.

Ahli politik menyeru rakyat agar sentiasa bertenang. Ahli pembangkang menyalahkan kerajaan atas kehilangan mentari —sepertimana mereka menyalahkan kerajaan tentang duit rakyat yang pernah lenyap dahulu.

Ahli agama pula menyeru umat agar mula bertaubat. Kehilangan matahari adalah ujian dari Tuhan buat mereka semua. Hari Pengakhiran semakin dekat. Bertaubatlah! Manakala yang agnostik pula dengan hebat membangkang kenyataan kolot ahli agama dengan mengatakan kehilangan matahari itu adalah satu fenomena sains, yang tidak ada kena-mengena langsung dengan agama dan Tuhan.

Aku? Aku masih diam di bilik ini, seperti selalu. Menyaksikan manusia panik, mungkin boleh jadi hobi terbaru aku, selain daripada ulang dengar lagu-lagu di dalam album Tonight’s the Night.

Kedua-dua tangan diletakkan di belakang kepala, mata ditutup dan suara Neil Young menenggelamkan hingar-bingar manusia di luar.

Malam 13

Untuk sesetengah orang, nombor 13 boleh mendatangkan nasib malang. Mungkin ada benarnya kata mereka itu.

Pada malam yang ke-13, tatkala aku berada di dapur, kedengaran bunyi kucing mengiau dari luar rumah. Awalnya, aku tidak mengendahkan bunyi itu, kerana aku sedang menunggu air mendidih untuk membancuh teh – teh oolong, bukan teh murahan yang selalu didapati di kedai runcit. Tetapi, bunyi kucing itu semakin lama semakin kuat, dan semakin menjengkelkan. Pantas saja aku mematikan api dapur, dan melangkah ke arah pintu utama. Pintu utama dibuka, dan seekor kucing hitam meluru masuk ke dalam dan terus mengambil tempat di atas sofa — sepertinya dia sudah arif benar dengan keadaan di dalam ruang tamu rumahku.

Aku biarkan saja dia dan terus menyambung kerjaku di dapur setelah menutup pintu hadapan.

Ah, teh oolong. Teh Naga Hitam, jika dialih bahasa secara literal. Anti-oksidan yang berkesan. Dan baik untuk gigi juga. Bagus pilihan kau.

Keningku berkerut. Laju saja aku menoleh ke belakang. Kucing hitam tadi sedang duduk sambil menjilat kaki hadapannya. Habis, suara siapa yang aku dengar tadi?

Malam 88

Di bawah lembayung kegelapan, negara ini sedang kucar-kacir. Siapa sangka, tanpa matahari manusia semuanya menjadi gila. Yang nokturnal menjadi penghidap insomnia. Masing-masing dahagakan cahaya matahari untuk merasa erti kehidupan. Tanpa matahari, hidup tidak lagi ceria. Dan para manusia murung setiap masa.

Kedai runcit di bawah sudah licin digeledah manusia. Bagai dilanggar garuda lagaknya.

Aku mengangguk. Aleksander, kucing hitam yang aku beri masuk dahulu, sambung bermain ekor sendiri. Bagaimana aku tahu namanya Aleksander? Oh, itu dia yang beritahuku sendiri. Pada awalnya, hampir saja aku menyepak kucing hitam itu kerana terkejut apabila dia mampu bertutur seperti manusia. Tetapi hari berganti hari, lama-lama aku sudah boleh terima dia — seekor kucing yang bercakap.

Tanpa matahari, manusia buntu. Apakah patut mereka terus bekerja, atau sambung tidur? Hari ini patut dikira hari apa? Apakah sekarang masa untuk sarapan atau makan malam? Tanpa matahari, manusia keliru.

Aku mengangguk lagi. Aku tak tahu apakah aku sudah gila, sehingga berhalusinasi atau kucing ini memang mampu berbicara seperti manusia.

Tanpa matahari, kita mati.

Malam 131

Engkau tidak bosan hidup seorang saja? Engkau tak ingin bercinta?

Aleksander bertanya. Aku hirup teh oolong perlahan-lahan – aku memang tidak sukakan kopi. Mengingatkan aku pada langit hitam di luar.

Aku memang sudah biasa begini, jawabku. Aku ada engkau dan itu sudah cukup. Aku tak perlukan cinta. Lagipun, kata Borges: “Jatuh cinta ibarat mencipta agama yang tuhannya tak sempurna.”

Aku memandang Aleksander. Dia tidak mengendahkan aku. Dia sambung bermain-main dengan ekornya untuk beberapa minit sebelum dia berhenti dan memandangku.

Aku lapar.

Aku mengeluh sekali dan terus saja bangkit menuju ke dapur untuk sediakan makanan Aleksander.

Malam 473

Kau tahu, Bolaño pernah berkata; “Seorang pemuisi bisa mengharungi apa sahaja.” Jadi aku rasa kau patut mula menulis puisi.

Aku menjeling ke arah Aleksander. Dia sedang sibuk menjilat kemaluannya. Dasar binatang. Perut aku berbunyi. Bekalan makananku semakin sedikit. Kedai-kedai yang berdekatan semuanya sudah habis diceroboh manusia. Bekalan elektrik pun sudah lama terputus. Luar-dalam gelap. Langit suram memayungi bilik suram memayungi hati suram.

Perutku berbunyi lagi. Mungkin aku patut mula menulis puisi.

Malam ???

Aku sudah hilang-kira berapa hari bumi tidak disimbah cahaya matahari. Lidahku kering. Perutku tidak berhenti berkeroncong. Aku terlentang di atas lantai, kepanasan. Mataku dipejam-celik. Lapar. Aku lapar.

Aleksander?

Soalan aku disahut dengan gema suara sendiri. Hidung aku tiba-tiba menangkap bau busuk. Aku cuba menutup hidung, namun aku tidak bertenaga langsung untuk menggerakkan tangan. Tidak pasti sama ada bau busuk itu datang daripada aku yang sudah lama tidak mandi ataupun…

Aleksander?

Masih tiada jawapan. Dan air mata jatuh membasuh kotoran di pipi.

Malam ∞

Seperti matahari, aku juga ghaib.


Pengarang :