EKONOMINASIONAL

Malaysia sedia kerjasama dengan EU berhubung isu minyak sawit

PUTRAJAYA, 25 JUL: Malaysia bersikap terbuka dan bersedia bekerjasama dengan negara-negara Eropah dalam mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan pengguna berhubung pengeluaran minyak sawit mampan dan manfaat kesihatan minyak sawit, kata Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Katanya, kerjasama yang lebih baik antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu pengeluaran minyak sawit boleh membawa manfaat lebih besar dalam jangka panjang kepada semua pihak terbabit.

“Malaysia percaya bahawa, penyelesaian terbaik adalah bekerja bersama untuk mempromosikan pertumbuhan yang inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada kenyataan Duta Besar Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche, bahawa pendapat awam terhadap minyak sawit di EU masih negatif disebabkan oleh kebimbangan terhadap perubahan iklim, perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan kepelbagaian bio.

Dalam satu temubual dengan Bernama minggu lalu, Laplanche mencadangkan bahawa Malaysia dan EU meningkatkan kerjasama dalam mencari penyelesaian terhadap persepsi awam dan sentimen negatif yang menyelubungi minyak sawit disebabkan oleh isu penebangan hutan.

Shamsul Iskandar berkata, Malaysia akan meminta Laplanche dan keseluruhan komuniti EU di Malaysia untuk berterusan bekerja bersama Kementerian Industri Utama untuk memberi maklumat lebih baik kepada pengkritik industri minyak sawit.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :