BERITA UTAMANASIONAL

Malaysia ucap takziah mangsa banjir Jepun, sedia hulur bantuan

KUALA LUMPUR 11 JUL: Malaysia merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh di barat Jepun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau amat berdukacita terhadap angka kematian yang tinggi sambil menyampaikan ucapan takziah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia,

Sekurang-kurangnya 155 orang dilaporkan terkorban dalam bencana itu – angka kematian tertinggi yang disebabkan oleh hujan yang melanda Jepun dalam masa lebih daripada tiga dekad.

“Sebagai sahabat lama Jepun dan sebagai negara yang terdedah kepada banjir semasa musim monsun, Malaysia berasa sangat sedih terhadap kehilangan banyak nyawa dan kemusnahan harta benda disebabkan banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat di barat Jepun,” kata beliau menerusi catatan dalam laman Twitter.

Dr Wan Azizah juga berharap semoga mereka yang masih hilang dapat ditemukan dengan segera.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia bersedia untuk menghulurkan apa-apa bantuan yang mungkin diperlukan oleh Jepun dalam keadaan yang sukar ini.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa rakyat Jepun dapat mengatasi tragedi ini.


Pengarang :