BERITA UTAMASELANGOR

Masalah banjir di pekan Kajang berjaya diatasi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 30 JUL: Pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Jelok, menunjukkan hasil positif apabila masalah banjir di kawasan terbabit akhirnya dapat diatasi secara tuntas.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Hee Loy Sian berkata, projek pembangunan menelan kos RM4.8 juta itu mula dijalankan sejak 2016, menerusi inisiatif bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

“Sebelum pihak kami menggembleng usaha melaksanakan projek ini, pekan Kajang terutama Sungai Jerlok seringkali mengalami masalah banjir setiap tiga bulan, sehingga menyebabkan kehidupan penduduk di sekitarnya terjejas.

“Namun, sebaik sahaja kerja-kerja pembaikpulihan siap menyeluruh pada September 2016, saya mengisytiharkan hampir dua tahun pekan Kajang bebas daripada banjir,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media Pembersihan Sungai Jelok, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Loy Sian merangkap EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata, beberapa skop kerja turut diketengahkan selaras memastikan keberkesanan projek itu.

“Ia melibatkan pelebaran sungai daripada lapan meter kepada 12 meter dengan menggunakan L-Unit Section, selain penambahan aras tebing (Flood Wall) sepanjang 1.5 meter.

“Kerja pelebaran sungai juga dibuat sepanjang 400 meter dari Pasar Kajang ke Metro Kajang.

“Bagaimanapun, kita akan memastikan kerja penyelenggaraan sentiasa dibuat dari semasa ke semasa bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya.

Sebelumnya, Loy Sian turut sempat meninjau lokasi Sungai Jerlok yang sedang giat dibaikpulih pekerja kontraktor.


Pengarang :