SELANGOR

MB: Allahyarham Shuhaimi tinggal legasi peduli rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 JUL: Allahyarham Shuhaimi Shafiei adalah seorang wakil rakyat yang prihatin masalah rakyat dan meninggalkan legasi kepimpinan peduli rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sepanjang tempoh menjadi wakil rakyat Ahli Dewan Negeri (ADN) di DUN Sri Muda dan Sungai Kandis, beliau sentiasa memikir masalah dihadapi rakyat di kawasan itu untuk dikemukakan kepada Kerajaan Negeri.

“Shuhaimi meninggalkan kita dengan legasi kepimpinan peduli terhadap rakyat dan beliau sentiasa tegas membincang serta mendesak Kerajaan Negeri (bagi membetulkan keadaan) walaupun kerajaan itu sama parti dengannya.

“Suaranya cukup keras dalam mesyuarat (membincangkan masalah dihadapi di DUNnya),” katanya dalam Ceramah Pilihanraya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis bagi membantu calon PAKATAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni di Taman Sri Andalas di sini, semalam.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu berkata, beliau mengenali rapat Shuhaimi kerana telah bersamanya sejak lebih 20 tahun lalu ketika zaman pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan membentuk kumpulan diskusi dan bertanding dalam PRU.

“Apa dibangkitkannya ialah beliau sentiasa mahu beberapa lokaliti dan kawasan DUN Sri Muda juga Sungai Kandis yang kerap dilanda banjir, harus dilakukan proses penebatan banjir.

“Proses ini giat dilaksanakan pentadbiran negeri sebelumnya serta kini diketuai saya selaku Dato’ Menteri Besar di mana ianya dilakukan berterusan dan bukan projek pilihan raya,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Zawawi daripada PAKATAN dengan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon BEBAS, K Murthy, dengan proses pembuangan undi pada 4 Ogos ini.

Ia diadakan ekoran kematian Shuhaimi akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.


Pengarang :