SELANGOR

MB alukan Kerajaan Persekutuan laksanakan IPR

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 15 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berbangga program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) menjadi model dan contoh untuk dilaksanakan di negeri lain.

Malah, beliau turut mengalukan Kerajaan Persekutuan hadir ke pentadbiran Kerajaan Negeri sekiranya mahu merangka program itu dan diselaraskan ke semua negeri.

“Selangor sebagai model dan menjadi negeri contoh pengendali program IPR.

“Kita menyediakan lebih 40 program IPR. Baru-baru ini Kerajaan Johor datang bertemu dengan pegawai kita belajar bagaimana kita laksanakan program air percuma, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Skim Peduli Sihat.

“Kerajaan Persekutuan juga boleh datang ke Selangor jika mahu program seperti ini dilaksanakan di semua negeri untuk dinikmati rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian di Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Pelabuhan Klang, di Taman Pendamaran Permai, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, pelaksanaan program IPR dilihat cemerlang sehingga berjaya menepis tohmahan sesetengah pihak.

“Kalau dulu mereka kata program ini populis, kurang berdaya saing dan bersikap sementara. Tetapi kini dalam manifesto Barisan Nasional mereka juga meniru program ini.

“Ini membuktikan Selangor sebagai model kerajaan kita di Putrajaya,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :