BERITA UTAMASELANGOR

MB: Belum masa sesuai bincang PRK

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 JUL: Isu Pilihan Raya Kecil (PRK) hanya bakal dibincangkan apabila selesai tiga hari majlis tahlil, pemergian Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, pihak terbabit termasuk Dewan Negeri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan tanggungjawab dan urusan seterusnya selepas ini.

Katanya, perbincangan berhubung perkara itu juga masih terlalu awal untuk diperkatakan.

“Saya rasa masih terlalu awal bercakap mengenai PRK. Biarkan kita selesaikan jenazah terlebih dahulu dan saya yakin pihak berkenaan akan laksanakan urusan mereka yang seterusnya.

“Kita hormati jenazah dan selepas urusannya selesai, kita akan adakan tahlil tiga malam untuk arwah.

“Selepas itu baru kita boleh bincang dengan lebih serius perkara yang melibatkan PRK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Shuhaimie Shafiei, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Antara yang turut hadir menziarah jenazah Shuhaimi Shafiei adalah Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa pimpinan politik yang lain.

Dalam perkembangan sama, Amirudin turut diminta mengulas mengenai pejabat ADN Sungai Kandis yang ditinggalkan mantan Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar itu.

“Buat masa ini, pejabat berkenaan masih beroperasi seperti sedia kala dan saya sendiri akan cuba memantau perkhidmatannya,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :