SELANGOR

MB galak lebih ramai golongan millennial sertai Persatuan AMG

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 15 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menggalakkan lebih ramai golongan millennial menyertai Persatuan Anak Muda Gombak (AMG).

AMG merupakan persatuan yang mula ditubuhkan dan dirasmikan pada hari ini, bertujuan melahirkan pemimpin daripada pelbagai bidang sekali gus membantu dalam pembangunan negara.

Amirudin berkata, beliau berharap dengan tertubuhnya Persatuan AMG, golongan millennial tidak hanya menunggu sebaliknya merancang dan menyediakan inisiatif untuk bersama-sama menbangunkan Selangor.

“Mesej penting yang ingin saya sampaikan supaya kita dapat maju bersama-sama untuk membangunkan negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ia kerana golongan millennial, mereka ada pandangan yang baharu, kaedah baharu atau mungkin fikiran mereka di luar pemikiran masyarakat, jadi saya akan ambil seluruh pandangan itu sebagai pelan perancangan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran AMG dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Taman Tasik Seri Gombak, di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham.

Mengulas mengenai AMG akan dibawa ke daerah lain, Amirudin berkata, setiap daerah mempunyai kaedah masing-masing ia bergantung kepada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Selangor.

“Saya tidak mahu tetapkan satu standard tetapi di daerah lain mungkin PeBT boleh meggerakkan mereka dan mencari lagi kelompok seperti ini.

“Yang penting, kita mahu lebih banyak suara dan pandangan golongan millennial yang boleh membantu Kerajaan Negeri dalam membangunkan Selangor,” katanya.

Terdahulu, Persatuan AMG ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) dan mempunyai 50 ahli sahaja berdaftar setakat ini.

Kepada mereka yang berminat untuk sertai boleh melayari Facebook Anak Muda Gombak.


Pengarang :