SELANGOR

MB: Kes kematian bayi, buka mata masyarakat isu keselamatan pusat jagaan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 JUL: Kes kematian bayi berusia lima bulan membuka mata masyarakat supaya lebih berwaspada terhadap pusat jagaan anak-anak dan memberi perhatian serius kepada aspek keselamatan di sesuatu pusat jagaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peristiwa menyedihkan itu jelas memberi kesan dan pengajaran berguna kepada semua bagi mengatasi isu berkaitan supaya tidak berulang pada masa hadapan.

“Ia mengajar kita lebih berhati-hati untuk meletakkan anak-anak di pusat jagaan dan mungkin perlu dilihat bagaimana peranan perlesenan dan pendaftaran sesebuah pusat jagaan itu.

“Walaupun mungkin kosnya besar tetapi faktor keselamatan dan sebagainya perlu diambil kira supaya kes sebegini tidak berulang lagi,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata demikian mengulas isu kejadian menimpa Adam Rayqal Mohd Sufi, lima bulan, dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki, ditemui mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, di sini, semalam.

Beliau berkata, peristiwa itu amat menyentuh hatinya sebagai bapa kepada enam anak yang masih kecil dan ia juga berlaku di DUN Sungai Tua diwakilinya.

“Saya mengucapkan tahniah kepada polis yang cepat menyiasat dan berjaya mengesan punca kejadian sebenar terhadap kes berkenaan.

“Saya juga merakamkan takziah kepada keluarga bayi berkenaan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :