BERITA UTAMASELANGOR

MB mahu ADN turun padang dengar syor rakyat rangka Belanjawan 2019

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 15 JUL: Menjelang pembentangan Belanjawan 2019, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mahu semua Ahli Dewan Negeri (ADN) turun padang bagi mendengar syor atau teguran daripada rakyat.

Katanya, hal itu bagi membolehkan Kerajaan Negeri merangka belanjawan yang komprehensif tanpa menyisihkan mana-mana golongan.

“Pada Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu, kita memenangi undi yang besar. Saya mahu ingatkan kepada ADUN, selepas ini menjadi tanggungjawab kita untuk membawa Selangor jauh lebih maju dan lebih banyak nikmat dikongsi.

“Oleh itu, mulai Ogos ini, saya mahu semua turun ke bawah dan pelusuk kawasan masing-masing bagi mendengar pandangan rakyat, apakah cadangan atau syor untuk kita rangka dalam belanjawan.

“Ini kerana cadangan atau teguran ini dapat membina kerajaan yang lebih baik dalam memenuhi kehendak setiap lapisan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Pelabuhan Klang, di Taman Pendamaran Permai, disini.

Amirudin berkata semua ADN perlu mendengar permasalahan rakyat demi memajukan negeri.

“Ini yang kita sebut maju bersama rakyat. Rakyat bersama kerajaan dan pemimpin tidak lupa akan rakyatnya. Saya mahu memastikan tiada sesiapa yang tertinggal atau tersisih dari kemajuan.

“Saya tidak rasa gembira Kalau kita mahu membangun tetapi rakyat tersisih. Saya bersyukur jika kemajuan dan kekayaan dikongsi kerana kekayaan ini bukan milik pemimpin tetapi rakyat.

“Menuju 2019, kemajuan dan kekayaan Selangor adalah milik bersama. Susah senang kita perlu bersama dalam negeri kita,” katanya.

 


Pengarang :