SELANGOR

MB: PAKATAN Selangor tidak gadai Melayu, Islam

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 JULAI: Pentadbiran Kerajaan Negeri diketuai KEADILAN sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai teras utama, termasuk tidak meminggirkan masyarakat Melayu dan Islam seperti dimomokkan Barisan Nasional (BN).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, rekod pentadbiran Kerajaan Negeri sejak peralihan kuasa, pada 2008 membuktikan masyarakat Melayu dan Islam mendapat pembelaan sepenuhnya.

Beliau berkata, tindakan itu menafikan dakwaan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan ‘Melayu akan menjadi bangsat’ apabila BN kehilangan kuasa.

“Apabila kita sentuh berkenaan Melayu dan Islam, yang penting ialah pelaksanaan contohnya tanah rizab Melayu, rekod membuktikan tiada seinci digadaikan Kerajaan Negeri yang dikhaskan untuk Melayu dan Bumiputera, di Selangor.

“Malahan jika ada proses pembangunan membabitkan kawasan Melayu, kita berikan penggantian cukup ketat, termasuk nilai tanahnya tidak terlalu jauh dan kini membuktikan nilai gantiannya lebih 30 peratus kerana ia lebih daripada apa diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis bagi membantu calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni, di Taman Sri Andalas, di sini, semalam.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu berkata, walaupun Kerajaan Negeri tidak selalu menjerit mahu menyelamatkan orang Melayu dan menegakkan Islam tetapi tindakan membuktikan menerusi pembinaan sekolah agama dan maahad tahfiz integrasi.

Katanya, Kerajaan Negeri juga menyampaikan sumbangan program tahunan pada Ramadan, Aidilfitri dan Aidiladha saban tahun untuk semua masjid juga surau, di Selangor.

“Bukan setakat itu, memasuki tahun kedua Kerajaan Negeri membelanjakan RM3.5 juta untuk muassasah atau meraikan jemaah haji, di Selangor.

“Ia termasuk lebih kurang 70 penerima dari DUN Sungai Kandis,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Zawawi daripada PAKATAN dengan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon BEBAS, K Murthy dengan proses pembuangan undi, pada 4 Ogos ini.

Ia diadakan ekoran kematian penyandangnya, Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.


Pengarang :