BERITA UTAMASELANGOR

MB terima kunjungan hormat Duta Perancis, fokus hala tuju pelaburan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menerima kunjungan hormat Duta Besar Perancis ke Malaysia, H.E Frederic Laplanche, di pejabatnya di Bangunan SUK Tingkat 21, di sini, hari ini.

Frederic tiba kira-kira jam 11 pagi, dan ia merupakan kunjungan pertama beliau bersama pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri itu.

Dalam pertemuan selama sejam itu, Amirudin dan Frederic antara lain membincangkan usaha mengukuhkan hubungan dua hala antara Selangor dan Perancis, khususnya dalam bidang pelaburan.

“Ia satu pertemuan sangat baik kerana Perancis adalah rakan strategik kita yang setia, malahan sebanyak 40 peratus pelaburannya ke Malaysia bertapak di Selangor.

“Pada masa sama kami turut berbincang mengenai cadangan bidang tertentu bagi melebarkan pelaburan Perancis ke negeri ini, sekali gus menjayakan ‘Selangor Smart City’,” katanya ketika ditemui SelangorKini selepas pertemuan itu.

Selain menyentuh mengenai hala tuju perniagaan dan ekonomi mampan, Amirudin berkata, perbincangan turut memfokuskan terhadap inisiatif memperkasa bidang kebudayaan serta kesenian di Selangor.

“Sebagaimana kita sudah mempelajari bahawa Perancis adalah sebuah kota budaya yang mantap, ‘establish’ dan maju.

“Dalam pertemuan ini, kita dapat berbincang dan menarik perhatian untuk melebarkan bidang seni dan budaya.

“Beberapa perkara lain juga diketengahkan terutama berkenaan Islam dan budaya setempat dengan masyarakat kita,” katanya.

Terdahulu, Frederic dilantik sebagai duta besar negara itu ke Malaysia sejak Jun 2017.

Sebelumnya, hubungan diplomatik Malaysia dan Perancis sudah terjalin sebaik sahaja Malaysia mengecap kemerdekaan pada tahun 1957.

Perancis juga antara negara terawal membuka kedutaannya di Kuala Lumpur tepat pada tarikh keramat 31 Ogos 1957.


Pengarang :